Surah al-Fatihah:
-Membaca Fatihah kitab (al-Quran) mendapat pahala
seperti membaca sepertiga al-Quran.
-Amalkan membaca al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap
hari dalam keadaan berwudhu’ dan ditiupkan pada air
lalu diminum selama tujuh hari. Insya-Allah akan mudah
memperolehi ilmu pengetahuan; di samping itu dapat
mengawal hati dan fikiran daripada perkara-perkara
yang merosakkan.
-Amalkan membaca al-Fatihah semasa hendak tidur,
diikuti membaca Surah al-Ikhlas tiga kali, Surah al-Falaq
dan Surah an-Nas, insya-Allah akan aman tenteram dan
terjauh dari gangguan syaitan.
-Bagi mereka yang mempunyai hajat yang baik, termasuk
untuk mendapat kenaikan pangkat/darjat, untuk mendapat
rezeki yang lumayan dari keadaan fakir, untuk dapat
menyelesaikan hutang, untuk menyembuhkan penyakit,
agar anak menjadi soleh dan berbagai hajat lagi, maka
hendaklah memohon kepada Allah s.w.t. dengan membaca
al-Fatihah sebanyak 41 kali setiap hari. Waktunya ialah
antara solat sunat Subuh dan solat fardhu Subuh. Amalkan
amalan ini sehingga 40 hari, insya-Allah hajat kita akan
di kurnia Allah s.w.t.
-Amalkan membaca al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap
lepas solat fardhu, insya-Allah akan memperolehi rezeki
yang lumayan, pangkat/darjat yang baik di sisi masyarakat,
baik akhlak. Mudah dalam urusan hidupnya dan kaum
keluarga mendapat perlindungan Allah s.w.t.
-Untuk membuka pintu rezeki yang luas dan mempermudah
segala urusan hidup serta terhindar dari segala kesulitan,
amalkan membaca al-Fatihah sebanyak 41 kali semasa
makan sahur malam. Insya-Allah akan dimakbulkan
Allah s.w.t.
-Setengah ulama menganjurkan membaca al-Fatihah
sebanyak 40 kali setiap lepas solat Maghrib dan sunatnya
untuk memohon sesuatu yang baik kepada Allah s.w.t.
Insya-Allah hajatnya akan termakbul.
-Dianjurkan juga amalan membaca al-Fatihah sebanyak
41 kali, insya-Allah dapat mengubati sakit mata, sakit
gigi, sakit perut dan lain-lain.
Surah al-Kahfi:
-Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang membaca
Surah al-Kahfi pada malam Jumaat maka terpancarlah
cahaya di antaranya dan Baitullah.”
(Riwayat Al-Baihaqi dari Abi Said al-Khudri)
-Imam Ahmad berkata, daripada Abi Darda’, daripada
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa menghafaz sepuluh
ayat permulaan Surah al-Kahfi maka terhindar daripada Dajjal.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud, An-Nasai, At-Tirmizi daripada
Qatadah)
-Imam Ahmad berkata, daripada Abi Darda’, daripada
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca sepuluh
ayat akhir daripada Surah al-Kahfi, maka terhindarlah
ia daripada fitnah Dajjal.” (Riwayat Muslim dan An-Nasai)
-Daripada Muaz Ibnu Anas al-Juhari, daripada bapanya,
daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca
dari Surah al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada
kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca
keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara
langit dan bumi.” (Riwayat Ahmad)
-Daripada Umar berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka
bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit,
untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat.”
(Riwayat Ibnu Katsir)
-Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang membaca
Surah al-Kahfi pada malam atau siang Jumaat, maka
diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang; dan
70,000 Malaikat memohon rahmat kepada Allah s.w.t.
hingga waktu Subuh, dan dijauhkan Allah s.w.t. dari
terkena wabak penyakit demam panas atau ta’un;
penyakit sopak; dan dijauhkan dari fitnah Dajjal.”
Surah as-Sajdah:
-Amalkan membaca surah ini selalu atau sekurang-kurangnya
setiap malam Jumaat.
-Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: “Nabi s.a.w.
membaca pada Solat Fajar (Subuh) pada hari Jumaat
“Alif Laam Miim Tanzil” as-Sajdah dan ‘Hal Ata ‘Alal
Insaan’ Insaan.” (Riwayat Bukhari)
-Daripada Jubair, beliau berkata: “Adalah Nabi s.a.w.
tidak tidur hingga membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk.”
(Riwayat Ahmad)
-Melindungi pembacanya dari seksa kubur.
-Mendapar pahala yang besar seperti pahala mereka yang
tetap solatnya pada malam Lailatul Qadar.
-Mendapat hidayah ilmu yang yakin.
-Dikurniai cahaya (nur) pada dirinya semasa ia mati.
Surah Yasiin:
-Daripada Ma’qal bin Yaasar r.a. bahawasanya telah
bersabda Rasulullah s.a.w.: “ Hati al-Quran ialah Surah
Yasiin, tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang
mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan
diampunkan oleh Allah dosanya, dan bacalah Surah Yasiin
kepada mereka yang hampir akan mati dan selepas mati.”
(Riwayat Ahad, Abu Daud dan An-Nasai)
-Daripada Jundub r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang membaca Yasiin dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredhaan Allah nescaya akan diampunkan
dosanya.” (Riwayat Malik, Ibnus-Sunni dan Ibnu Hibban)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Surah Yasiin dinamakan
di dalam kitab Taurat dengan sebutan “al-Mu’ammah”
(yang umum), yang mengumumkan tuannya (pembacanya)
dengan kebaikan dunia dan akhirat dan yang menanggung
segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan
juga sebagai perisai dan penunai hajat, yang melindungi
pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang
menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan.”
(Riwayat Said bin Mansur dan Al-Baihaqi dari Hasan bin Aziah)
-Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya bagi
setiap sesuatu itu ada hati, dan hati al-Quran ialah Surah
Yasiin; sesiapa yang membaca Surah Yasiin, nescaya
dituliskan oleh Allah pahala menyamai 10 kali membaca
al-Quran seluruhnya.” (Riwayat At-Tirmizi dari Anas r.a.)
Surah al-Mu’min (Ghaafir), Fussilat, asy-Syuraa, az-Zukhruf,
al-Jaathiyah dan al-Ahqaaf:
-Mereka yang mengamalkan membacanya mendapat
pahala yang besar dan mendapat pembelaan di akhirat kelak.
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di dalam al-Quran terdapat
7 surah yang dimulai dengan “Ha Miim”, akan datang
di depan setiap pintu neraka jahanam dan memohon
kepada Allah: “Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan
(ke dalam neraka ini) orang yang percaya kepada aku
dan membacaku.”” (Riwayat Al-Baihaqi dari Khalil)
Surah ad-Dukhaan:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah Ha Miim ad-Dukhaan setiap malam, maka pada
esok harinya 70,000 Malaikat memohonkan keampunan
baginya.” (Riwayat At-Tirmizi dari Abu Hurairah)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah ad-Dukhaan pada malam atau hari Jumaat, maka
Allah akan membinakan sebuah rumah dalam Syurga.”
(Riwayat At-Tabrani dari Umamah)
- Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di dalam al-Quran terdapat
7 surah yang dimulai dengan “Ha Miim”, akan datang
di depan setiap pintu neraka jahanam dan memohon kepada
Allah: “Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan (ke dalam
neraka ini) orang yang percaya kepada aku dan membacaku.””
(Riwayat Al-Baihaqi dari Khalil)
-Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Nabi s.a.w.
bersabda: “Sesiapa membaca Ha Miim ad-Dukhaan pada
malam Jumaat, maka diberi keampunan baginya.”
(Riwayat Ibnu Katsir)
Surah al-Fath:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya telah diturunkan
kepadaku pada waktu malam sebuah Surah yang aku cintai
lebih dari dunia ini dan isinya.” Pada riwayat yang lain,
“yang lebih aku cintai daripada apa yang disinari oleh
cahaya matahari.” Dan kemudian baginda membaca:
“Innaa fatahnaa laka fatham mubiinaa
(ayat pertama Surah al-Fath).” (Riwayat Bukhari)
-Hadith Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya membaca
Surah al-Fath maka seolah-olah ia turut menyaksikan
pembukaan dan penaklukan Makkah bersama
Muhammad Rasulullah.” (Diceritakan oleh Thalabi)
-Setengah ulama zaman silam menyatakan bahawa
sesiapa membaca Surah al-Fath semasa melihat bulan
awal Ramadhan pada permulaan malam, maka Allah
luaskan rezekinya pada tahun itu sehingga akhir tahun.
Surah al-Waaqi’ah:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah al-Waaqi’ah pada tiap-tiap malam akan terjauhlah
ia dari kepapaan selama-lamanya.” (Riwayat Al-Baihaqi)
-Daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata, Abu Bakar
as-Siddiq r.a. berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya
tuan berambut putih (kelihatan tua) kerana Surah-surah
Hud, al-Waaqi’ah, al-Mursalat, Amma Yatasaalun dan
Iza-Syamsul-Kuwwirat.” (Riwayat At-TIrmizi)
-Sesiapa yang mengamalkan membacanya sebagai wirid
selepas tiap kali solat Asar sebanyak 41 kali, insya-Allah
akan mudah mendapat rezeki.
-Jika dibacakan kepada orang yang sedang sakit insya-Allah
akan ringanlah sakitnya.
-Jika dibacakan di hadapan orang yang sedang nazak,
insya-Allah akan memudahkan sakaratulmautnya.
-Jika dibacakan untuk ahli kubur, insya-Allah akan
meringankan seksa kuburnya.
Surah al-Hasyr:
21. Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas
sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu
khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan
(ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan
kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.
22. Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia;
Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
23. Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia;
Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha
Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha
Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta
Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat
(menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala
KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka
sekutukan denganNya.
24. Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk;
Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk
rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya);
bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-
mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit
dan di bumi dan Dialah Yang tiada bandingNya, lagi Maha
Bijaksana.
-Daripada Fadhil Umu Yassar Al-Muzani berkata, Nabi s.a.w.
bersabda: “Sesiapa ketika bangun Subuh membaca isti’aadzah
(a’udzubillahi minasy-syaitaanirrajiim), diikuti membaca tiga
ayat akhir Surah al-Hasyr, maka Allah s.w.t. mewakilkan
70 Malaikat berselawat atasnya hingga ke petang dan jika
dia meninggal dunia pada hari itu dikira mati syahid.”
(Riwayat At-Tirmizi)
Surah al-Mulk:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya di dalam
al-Quran terdapat 30 ayat yang kandungannya akan memberi
syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia
mendapat keampunan dosanya iaitu Surah al-Mulk.”
(Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah
dari Abu Hurairah)
-Daripada Ibnu Abbas r.a., seorang sahabat Rasulullah s.a.w.
menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang
beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara
orang membaca Surah al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu
menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan
khemah di atas sebuah kuburan yang saya tidak ketahui,
saya mendengar seorang sedang membaca Surah al-Mulk
sehingga khatam.” Aka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang
menahan dan yang menyelamatkan dia dari seksa kubur.”
(Riwayat At-Tirmizi)
-Daripada Jabir r.a.: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak
akan tidur sehingga baginda membaca Surah Alif Laam Miim
al-Sajdah dan al-Mulk.” (Riwayat At-Tirmizi)
-Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Satu Surah di dalam al-Quran menghadiahkan kepada
pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam Syurga
iaitu ‘Tabaarakal-ladzii’.” (Riwayat At-Tabrani)
-Dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang membaca Surah al-Mulk setiap malam
maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”
(Riwayat An-Nasai)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah al-Mulk dan as-Sajdah pada waktu malam maka
keadaannya seperti ia menemui malam Lailatul-Qadr.”
(Riwayat Anas r.a.)
Surah an-Nabaa’, al-Buruuj, Qaaf dan at-Taariq:
-Hadith yang diceritakan oleh Abu Darda’ bermaksud:
“Pelajarilah Surah an-Nabaa’; pelajarilah Surah al-Buruuj,
pelajarilah Surah Qaaf dan pelajarilah Surah at-Taariq,
kerana jika kamu mengetahui fadhilat-fadhilat dan besarnya
pahala membaca Surah-surah tersebut, maka kamu akan
berhenti dari tugas-tugas kamu lalu mempelajari Surah-surah
tersebut; dan juga mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
dengan membacanya. Sesungguhnya Allah s.w.t. akan
mengampunkan dosa mereka yang mengamalkan
membacanya selain dari dosa syirik.
Surah at-Takwiir:
-Mengamalkan membaca surah ini menjauhi kepapaan
disamping pahala yang banyak. Rasulullah s.a.w.
membacanya boleh dikatakan setiap malam.
- Daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata, Abu Bakar
as-Siddiq r.a. berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya
tuan berambut putih (kelihatan tua) kerana Surah-surah
Hud, al-Waaqi’ah, al-Mursalat, Amma Yatasaalun dan
Iza-Syamsul-Kuwwirat.” (Riwayat At-TIrmizi)
Surah al-A’laa:
-Rasulullah s.a.w. setiap malam membaca Surah-surah
yang mengandungi kalimah Tasbih. Sabda baginda:
“Sesungguhnya pada Surah yang terdapat kalimah Tasbih
terdapat satu ayat yang lebih baik daripada seribu ayat.
” Seorang sahabat, ‘Ubai bin Ka’ab mengatakan: “Surah
yang utama mengandungi Tasbih ialah Surah al-A’laa.”
(Riwayat At-Tirmizi dan An-Nasai)
Surah adh-Dhuhaa:
-Menurut ulama, apabila Surah ini diamalkan membacanya
menjadi wirid 7 kali pada setiap pagi ketika matahari terbit
dan 7 kali setiap matahari terbenam, insya-Allah akan
terselamat dari kehilangan atau kecurian.
-Sekiranya terjadi kehilangan atau kecurian, maka kerjakanlah
solat sunat Dhuha tiga kali (dua rakaat setiap sekali) pada setiap
pagi Jumaat sehinggalah yang hilang itu di dapati kembali.
Selepas memberi salam, berdoalah memohon kepada
Allah s.w.t.
-Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah adh-Dhuhaa
40 kali setiap hari selama 40 hari dan berdoa memohon
kepada Allah s.w.t., insya-Allah hidupnya terjauh dari
keadaan fakir.
Surah al-Insyirah:
-Mempermudah segala urusan, dan murah rezeki apabila
diamalkan membacanya 7 atau 10 kali setiap lepas solat
fardhu.
-Apabila ada sesuatu hajat yang penting, kerjakan solat
sunat hajat atau Tahajjud di tengah malam, dan baca Surah
ini 103 kali atau lebih banyak menurut kemampuan.
Insya-Allah hajatnya akan tercapai.
-Amalkan membaca Surah ini, insya-Allah terjauh dari
wabak penyakit panas dan penyakit berjangkit.
Surah al-Qadr:
-Mereka yang mengamalkan membacanya hingga menjadi
wirid dipandang hebat dan mulia.
-Mereka yang mengamalkan membacanya seberapa banyak,
insya-Allah akan terhindar dari kefakiran.
-Untuk memohon sesuatu hajat kepada Allah, bacalah
141 kali dan berdoa, insya-Allah akan terkabul hajatnya.
-Mereka yang membaca Surah al-Qadr ini semasa keluar
dari rumah, insya-Allah akan pulang dengan selamat.
-Mereka yang membaca Surah al-Qadr 10 kali maka akan
terhapuslah 1000 dosanya.
Surah al-Bayyinah:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t.
setelah mendengar orang membaca surah ini lalu berfirman
kepada pembacanya: “Bergembiralah kamu hai hamba-Ku;
dengan kemuliaan-Ku, Aku tidak akan melupaimu dalam
setiap gerak tingkah lakumu di dunia dan di akhirat; dan
Aku tempatkan kamu di dalam Syurga atas keredhaanmu.””
Surah az-Zalzalah:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah az-Zalzalah, maka bandingannya seperti membaca
separuh al-Quran.” (Riwayat At-Tirmizi dari Anas)
Surah al-‘Aadiyaat:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah al-‘Aadiyaat, maka bandingannya seperti membaca
separuh al-Quran.”
Surah al-Fiil:
-Sesiapa yang dizalimi orang, kerjakanlah solat Tahajjud
atau Hajat di tengah malam. Selepas membaca al-Fatihah
pada rakaat pertama baca Surah al-Fiil 40 kali dan pada
rakaat kedua Surah al-Kaafiruun sekali.
-Untuk tertunai hajat, bacalah Surah al-Fiil 20 kali sehari
selama 7 hari, insya-Allah termakbul.
-Baca Surah al-Fiil 1000 kali setiap hari selama 40 hari
untuk memudahkan mendapat rezeki.
Surah al-Kautsar:
-Menurut sebuah Hadith Rasulullah s.a.w., sesiapa yang
membaca Surah al-Kautsar maka Allah akan memberinya
minuman dari sungai Syurga.
-Sesiapa yang membaca Surah al-Kautsar 1000 kali, maka
Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki
dan kenaikan pangkatnya.
-Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah al-Kautsar
7 kali semasa dalam keadaan ketakutan, maka Allah s.w.t.
akan memberikan perlindungan terhadapnya.
-Sesiapa yang membaca 1000 kali Surah al-Kautsar selepas
solat fardhu Isya’ hingga ia tertidur, insya-Allah dapat
melihat Nabi Muhammad s.a.w. dalam tidurnya.
Surah al-Kaafiruun:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah
al-Kaafiruun maka bandingannya seperti membaca
seperempat al-Quran; disamping terlepas dari syirik,
terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa
bencana yang mengejutkan.” (Riwayat At-Tirmizi dari Anas)
Surah an-Nasr:
-Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah ini akan mendapat
pahala yang besar, bandingannya seperti membaca
seperempat al-Quran.
-Bacalah Surah ini apabila hendak melakukan kerja-kerja
yang rumit atau berat; ataupun semasa hendak keluar
rumah, insya-Allah akan mendapat pertolongan Allah s.w.t.
Surah al-Ikhlas:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca
Surah al-Ikhlas ini satu kali, maka Allah s.w.t. memberi
pahala sebanyak pahala 100 orang pahlawan syahid.”
(Maksud Hadith dari Ubai bin Ka’ab)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membacanya
10 kali setiap lepas solat Subuh maka tidak akan terjadi
kepadanya suatu dosa pun, walaupun syaitan bersungguh-sungguh menggodanya.” (Maksud Hadith dari Ali bin Abu Talib r.a.)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah
al-Ikhlas satu kali maka seolah-olah ia membaca sepertiga
al-Quran.” (Maksud Hadith dari Anas bin Malik)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah
al-Ikhlas tiga kali maka seolah-olah ia membaca keseluruhan
al-Quran.” (Maksud Hadith dari Anas bin Malik)
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah
al-Ikhlas dalam solat-solat fardhu maka Allah s.w.t.
mengampuninya berserta kedua ibu bapanya dan orang-orang
yang celaka lalu menuliskannya dalam buku daftar orang-orang
yang berjaya. (dari sebuah khabar-Majalis)
-Dari Hadith Rasulullah s.a.w. pula bermaksud: “Sesiapa yang
membaca Surah al-Ikhlas 10 kali maka Allah s.w.t. akan
membinakan untuknya sebuah rumah di dalam Syurga.”
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca Surah al-Ikhlas
semasa dalam sakit yang membawa kepada kematiannya maka
ia tidak akan terkena fitnah kubur dan aman dari himpitan kubur
dan ia akan dibawa oleh Malaikat dengan tapak tangannya
hingga melepasi sirat menuju ke Syurga.” (Riwayat At-Tabrani)
-Sebuah lagi Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesiapa
yang membaca Surah al-Ikhlas di atas perkuburan sebanyak
11 kali dan pahalanya dihadiahkan kepada umat Islam yang
telah meninggal dunia, maka diterimakan kepadanya pahala
sebanyak mereka yang telah meninggal dunia.”
Surah al-Falaq dan An-Naas:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ingatlah saya beritahu kepada
kamu tentang ta’awuz (doa memohon perlindungan) yang
paling berkesan ialah ‘Qul a’uudzu birabbi’.”
(Riwayat Ahmad dari Ibnu Abbas r.a.)
Untuk menyembuhkan orang terkena sihir atau yang
seumpamanya, bacakan sebanyak 41 kali setiap hari selama
3 hari, 5 atau 7 hari berturut-turut. Insya-Allah akan sembuh.
-Untuk menaikkan semangat berani membela kebenaran dari
kekejaman orang-orang memegang kuasa, orang-orang jahat
dan sebagainya, bacalah kedua Surah ini 100 kali.
-Juga bacalah kedua Surah ini seberapa banyak apabila kita
sesat jalan seperti dalam gelap atau dalam hutan,
insya-Allah akan terselamat.
-Amalkan membaca kedua Surah ini 3 kali, pagi dan petang
didahului membaca Surah al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas,
insya-Allah segala keperluan hidupnya akan cukup dan sempurna.
0 komen:
Post a Comment